Covid-19: Malaysia lepasi 100,000 kes positif

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

KES positif Covid-19 di Malaysia kini merekodkan 100,318 kes apabila 1,581 lagi kes positif dicatatkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah 1,579 kes.

“Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 491 kes dan daripada jumlah ini, 375 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Kuala Lumpur sebanyak 379 kes dan Sabah dengan 249 kes.

“Sebanyak 270 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (185 kes), Tembok Gajah (74), GK Tawau (6), Tembok (4) dan Kluster Bakti (1 kes),” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga memaklumkan hari ini bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 1,085 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 81,099.

“Sehingga kini, terdapat 102 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah 446,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here