Pihak berkuasa perlu memberi perhatian serius terhadap segala aduan berkaitan aktiviti perjudian seperti yang didedahkan di Sungai Buloh, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas Menteri Dalam Negeri itu berkata, peniaga yang menularkan video itu mempunyai alasan kukuh berkaitan aduannya mengenai perjudian haram dan tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Saya ambil maklum kes aduan pengasas Hot Burger yang sedang viral.
“Saya percaya pengadu, pemilik perniagaan Hot Burger yang banyak membantu peniaga muda tidak berkemampuan, mempunyai alasan kukuh berkaitan aduannya mengenai perjudian haram dan tindakan PBT.
“Harap pihak berkuasa memberi perhatian serius terhadap segala aduan seumpama itu,” katanya menerusi Facebook miliknya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut merakamkan jutaan terima kasih di atas tindakan pantas polis dalam memerangi premis perjudian di seluruh negara.
“Tindakan ini perlu berterusan agar perjudian haram tidak menjadi barah dalam kehidupan rakyat,” katanya.
Kelmarin, seorang lelaki memuat naik dua video di Facebook Hot Burger Malaysia hingga mendapat lebih sejuta tontonan.
Menerusi video dirakam secara tinjauan dari dalam kenderaan, lelaki itu mendakwa aktiviti mesin kuda dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh seolah-olah kebal dari tindakan pihak berkuasa.
Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar semalam berkata dakwaan yang tular itu tidak benar.

