Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius berhubung video tular berkaitan isu rasuah penguat kuasa melindungi gerai haram, penjualan rokok seludup dan judi di Sungai Buloh.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata beliau sudah menghubungi Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPs), Datuk Zamri Yahya untuk bekerjasama dengan SPRM berhubung isu berkenaan.
“Kami memandang serius berhubung isu yang ditularkan dalam dua klip video yang mendakwa pihak berkuasa gagal dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang selain dikatakan menerima rasuah daripada pihak terbabit.
“Saya sudah hubungi Datuk Zamri, Pengarah JIPs pada pagi ini dan beliau memaklumkan pihak JIPs akan mengambil tindakan tegas ke atas premis perjudian termasuk pegawai yang melindungi aktiviti perjudian itu kerana kesalahan ini di bawah bidang kuasa PDRM,” katanya.
Beliau memaklumkan JIPs menyatakan komitmen akan bekerjasama menyalurkan maklumat kepada SPRM jika ada pegawai serta anggota polis terbabit dikenal pasti.
“SPRM akan memberikan tumpuan kepada pegawai serta anggota penguat kuasa atas kesalahan menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di sekitar Sungai Buloh,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menghebahkan sesuatu isu di dalam media sosial kerana ia tidak akan membantu proses siasatan.
“Ia tidak akan membantu sebarang proses siasatan malahan memberi peluang kepada pihak-pihak terbabit menghapuskan bukti serta keterangan yang ada.
“Sebaliknya, masyarakat diminta untuk menyalurkan terus maklumat kepada SPRM, ” katanya
Kredit Foto: Polis Daerah Sungai Buloh

