Fitri Nizam
[Parlimen] Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menyarankan supaya Ahli Parlimen yang balik ke kawasan masing-masing, terutama di lokasi Perintah kawalan diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran (TEMCO) membuat saringan Covid-19 sebelum hadiri sidang Parlimen.
Beliau berkata, seperti semua sedia maklum terdapat kewujudan kluster yang berpunca daripada ‘super spreader virus strain’ melanda di beberapa kawasan utara Semenanjung.
Justeru, katanya, ujian saringan Covid-19 adalah satu langkah berjaga-jaga boleh diambil Ahli Parlimen yang pulang ke kawasan masing-masing bagi mengurangkan risiko penularan.
“Ini penting kerana saya tahu Ahli-Ahli Yang Berhormat (YB) pulang ke kawasan masing-masing.
“Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga dan mengekang penularan Covid-19, selain memastikan sidang Dewan Rakyat berjalan lancar, maka saya ingin sarankan kumpulan berikut membuat ujian Covid-19,” katanya ketika menyampaikan ucapan pemasyhuran Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini..
Azizan berkata, bagi mereka yang bergejala, individu dalam siasatan (PUI), individu dalam pemantauan (PUS), kontak rapat kepada kes positif, perlu membuat ujian saringan berkenaan untuk kebaikan semua pihak.
“Ia merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dimbil berat oleh semua Ahli Parlimen,” katanya.

