Kekang pencerobohan tanah, kerajaan Pahang tak membelakangi undang-undang

0
3

PERGERAKAN Pemuda Umno merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besarnya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr  Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ucapan berkenaan diberi atas kejayaan kerajaan negeri mengenepikan semua hujahan pihak penceroboh tanah haram di Raub sehingga memungkinkan keputusan mahkamah menolak semakan penghakiman dibuat pihak terbabit.

Katanya, sejak dari awal kepimpinan Wan Rosdy, kerajaan Pahang tampak tegas dan penuh bijaksana mengambil tindakan terhadap peneroka tanah haram yang bermula di Sungai Ichat di Cameron Highlands dan kemudian Raub tanpa rasa cuak ‘without fear or favour’.

“Walaupun banyak pihak cuba memfitnah, mentohmah bahkan ada segelintir yang meremehkan segala usaha bersepadu kerajaan Pahang, namun kepimpinan Menteri Besar tidak mudah gusar.

“Bahkan tegas mengambil tindakan mengikut segala lunas undang-undang termasuk berdepan gertakan perundangan melalui mahkamah oleh mereka berkepentingan,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, keputusan mahkamah semalam juga jelas membuktikan bahawa kebijaksanaan dan ketegasan kerajaan negeri tidak sesekali membelakangi undang-undang.

“Jauh sekali berniat menzalimi mana-mana pihak tanpa mengira kaum dan agama,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda Umno berpendirian usaha murni kerajaan Pahang itu wajar diteladani negeri lain.

“Dan berharap tindakan bersepadu untuk mengekang fenomena penerokaan dan pencerobohan tanah haram ini dapat diteruskan demi kepentingan dan masa depan rakyat Pahang.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan negeri.

Justeru itu, kata Wan Rosdy, penguatkuasaan ke atas kebun durian Musang King itu akan dilaksanakan seperti kes penerokaan tanah secara haram di Lembah Bertam dan Sungai Ichat di Cameron Highlands. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here