Sorotan 2020: Langkah Sheraton punca kerajaan PH tersandung

0
1

Fitri Nizam

‘KITA sudah sampai ke destinasi Wawasan 2020’, itulah yang bermain di benak setiap warga Malaysia sebaik saja tahun 2019 melabuhkan tirai.

Walaupun ketika itu sudah ada ura-ura penularan virus ‘pembunuh’ dari Wuhan, China namun pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa memandangkan 2020 adalah Tahun Melawat Malaysia.

Bak kata pepatah ‘air yang tenang, jangan disangka tiada buaya’. Itulah yang berlaku ketika kalender belum pun menginjak ke Mac 2020.

Seperti semua sedia maklum, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri Ketujuh yang memegang tampuk pemerintahan selepas Pakatan Harapan (PH) menumbangkan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun.

Kisah Dr Mahathir yang berseteru dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hebat diperkatakan sejak awal gabungan PH dilahirkan antara Bersatu, PKR, DAP, Amanah dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Pada 21 Februari 2020 di sinilah dikatakan bermulanya pergolakan politik di negara sehingga membawa kepada krisis Perlembagaan di Malaysia.

Mesyuarat PH pada 21 Februari dilaporkan tegang

Mesyuarat Majlis Presiden PH yang bersidang antara parti gabungan dilaporkan tegang dek kerana asakan daripada ‘Kumpulan Anwar’ yang menuntut Dr Mahathir meninggalkan kerusi nombor satu negara kepada Anwar seperti dijanjikan.

Walaupun sidang akhbar pimpinan PH memperlihatkan ‘kesefahaman’ bahawa Dr Mahathir akan terus memimpin tanpa titik masa, namun rakaman suara betapa ‘panas’ mesyuarat yang berlangsung mengasak beliau meletak jawatan tersebar di media sosial hingga mencetuskan pelbagai spekulasi.

Dua malam berikutnya iaitu pada 23 Februari, pertemuan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan pimpinan kerajaan PH termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Hotel Sheraton mula mencetuskan spekulasi bahawa ada pakatan baharu yang bakal memimpin kerajaan.

Keesokan harinya, pada 24 Februari adalah hari yang sangat panjang dan penuh ‘drama’, babaknya bermula dengan pengumuman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu keluar daripada PH termasuklah Ahli Parlimennya.

Beberapa minit selepas berita tergempar itu berlegar di media sosial, rakyat sekali lagi dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan oleh Dr Mahathir.

Azmin, Zuraida dan sekutunya

Di sebelah petang pada hari sama, Azmin dan sekutunya Zuraida Kamaruddin dilaporkan dipecat daripada PKR. Azmin ketika itu adalah Timbalan Presiden manakala Zuraida adalah Ketua Wanita.

Susulan pemecatan itu, Azmin mengumumkan beliau bersama 10 lagi Ahli Parlimen PKR meninggalkan parti itu sekali gus ‘melumpuhkan’ PH sebagai kerajaan.

Azmin dan Zuraida antara Ahli Parlimen PKR yang menyokong Muhyiddin

Selepas Asar hari sama, Dr Mahathir dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan dilantik sebagai Perdana Menteri Interim bagi membolehkan kerajaan Malaysia bergerak sementara kerajaan baharu ditubuhkan.

Di sini Yang di-Pertuan Agong memperlihatkan kearifan untuk menyelesaikan kemelut politik negara dengan bertitah bahawa baginda akan bertemu semua 222 Ahli Parlimen untuk menentukan Perdana Menteri berikutnya.

Ahli Parlimen BN dan PAS dititahkan masuk ke Istana Negara untuk ditemubual Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan Perdana Menteri namun ketika ini difahamkan kem pembangkang (BN dan PAS) mencadangkan Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya.

Usul kerajaan perpaduan

Pada 26 Februari, Dr Mahathir mengusulkan idea kerajaan perpaduan bagi memastikan kestabilan negara yang ketika itu dunia separa ‘lumpuh’ akibat pandemik Covid-19.

PH kemudian mahu menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri bagi menggantikan Dr Mahathir yang telah meletakkan jawatan.

Mereka kemudian ke Istana Negara dengan menaiki bas dua tingkat ‘hop on, hop off’ untuk ditemubual Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian masing-masing terhadap Perdana Menteri seterusnya.

Ahli Parlimen PH ke Istana Negara menaiki bas ‘hop on, hop off’

Hari berikutanya, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masih belum memperoleh keyakinan seorang Ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

“Berdasarkan temubual itu, Seri Paduka Baginda masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu,” katanya.

Bersatu ubah pendirian

Bersatu yang sebelum itu menamakan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri mengubah pendirian dengan menamakan Muhyiddin sebagai calon selepas bekas Perdana Menteri itu gagal mendapat sokongan Ahli Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong akhirnya perkenan Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan

Dr Mahathir juga dilaporkan mengatakan “Jika semua pilih Muhyiddin, saya OK”, PAS dan Umno turut bersetuju menyokong Presiden Bersatu itu bagi menyelesaikan krisis politik negara.

Pada 1 Mac, krisis politik negara akhirnya terlerai apabila Yang di-Pertuan Agong berpuas hati dengan jumlah sokongan yang diperoleh Muhyiddin untuk menjadikannya Perdana Menteri Ke-8 sekali gus membentuk kerajaan baharu yang dinamakan sebagai Perikatan Nasional gabungan antara Bersatu, PAS, Umno dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here