UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor bertegas tidak akan berkompromi terhadap setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu kepada sekutu politiknya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada masa sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya tidak akan menghalang jika Perikatan Nasional (MN) khususnya Bersatu mahu meletakkan calonnya bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.
“Prinsip kita di Selangor dengan Muafakat Nasional (MN) ialah kalau yang menang kekal, misalnya kalau kerusi itu PN punya, kita tidak ada halangan.
“Tapi tidak boleh ambil kerusi yang BN punya itu (sebelum lompat) itu saja, tapi saya mengharapkan supaya agihan kerusi akan dapat diselesaikan dengan baik,” katanya kepada media di Sawah Sempadan, Tanjong Karang, semalam.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang turut mengesahkan urusan pengagihan kerusi antara Pas dan Umno dalam MN Selangor telah dimuktamadkan menerusi empat siri mesyuarat, sejak bulan lalu.
“Di Selangor, Alhamdulillah kita tengok sudah okay, kita hanya tengok Selangor saja, tapi peringkat pusat akan tengok seluruh negara. Kita serah kepada pusat untuk mengambil kira cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Selangor.
“Kita sudah tiga hingga empat kali mesyuarat sebelum ini, terkini bulan lepas kita mesyuarat. Kita harap agihan kerusi ini dapat diselesaikan dengan baik, kalau semua orang berpuas hati, tidak ada masalah,” katanya.
Tambah Noh lagi, MN sebulat suara bersetuju untuk mengelak pertandingan tiga penjuru yang boleh mencetuskan pertembungan sesama sendiri dalam PRU15 akan datang.
“Bagi saya yang penting kena cari jalan mengelak pertandingan tiga penjuru, biar satu lawan satu sahaja, kalau tiga penjuru akhirnya kita akan berpecah dan apa yang berlaku dalam PRU14 akan berulang balik.
“Umno dan Pas tidak boleh bertembung, kalau bertembung juga saya rasa sukar untuk kita ambil alih Selangor,” katanya. – Malaysiapost

