KERAJAAN mengkaji secara terperinci untuk membuka sempadan negara bagi membolehkan gelembung perjalanan atau ‘travel bubble’ ke negara yang berstatus hijau.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu bergantung kepada situasi Covid-19 di seluruh dunia yang boleh berubah pada setiap masa.
“Umpamanya jika Jepun tiba-tiba merekodkan peningkatan kes Covid-19 dan isytihar darurat. Keadaan berubah maka kes (cadangan) itu terhenti sementara waktu,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beberapa negara termasuk Brunei kini didapati berstatus hijau semula.
“Sebagai contoh, Brunei tiada kes Covid-19 selama enam bulan. Tiada sebab tidak benarkan mereka di Brunei masuk ke sini.
“Kita juga benarkan komuniti peniaga di Singapura datang ke Malaysia. Selain itu, negara tertentu membabitkan ekspatariat kategori EP1, kita benarkan mereka masuk ke negara ini.
“Sebenarnya, kemasukan sudah ada tetapi kebenaran terhad dan perlu mendapat kebenaran Jabatan Imigresen,” katanya. – Malaysiapost

