SEBANYAK 2,062 kes jangkitan Covid-19 direkodkan hari ini dengan Selangor menjadi peyumbang tertinggi apabila mencatatkan 1,014 kes.
Jumlah kes baharu yang direkodkan itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 97,389 kes, manakala jumlah kes aktif pula berjumlah 17,646 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah masih mencatatkan kes harian tertinggi berbanding negeri lain.
“Selangor melaporkan kes tertinggi iaitu sebanyak 49.2 peratus daripada jumlah keseluruhan diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 504 kes (24.4 peratus) dan Sabah melaporkan sebanyak 252 kes (12.2 peratus).
“Selain itu, Johor (167), Negeri Sembilan (57), Pulau Pinang (23), Perak (17), Melaka (9), Pahang (6), Kedah (5), Kelantan (4), Labuan (2) dan Putrajaya (2),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 129 kes (5.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan
kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen.
“Ia Kluster Tembok Gajah (88 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (24 kes), Kluster Penjara Sandakan (3 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes) dan Kluster Tembok (2 kes),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini terdapat 11 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 439 kes (0.45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya. – Malaysiapost

