KERAJAAN bersetuju untuk membenarkan kemasukan pelajar antarabangsa dari semua negara kecuali United Kingdom (UK) ke kampus secara fizikal bagi sesi pembelajaran tahun 2021 bermula 1 Januari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kebenaran itu merangkumi lima aspek iaitu membabitkan pelajar lama dan yang diterima masuk oleh institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta mempunyai penginapan tetap di Malaysia.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) bagi ujian calitan Covid-19 dan perintah kuarantin tertakluk kepada pengarahan sedia ada bagi semua pengembara dari luar negara.
“Pelajar perlu melakukan ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia dan sekali lagi setibanya di pintu masuk negara.
“Mereka juga perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin yang diwartakan oleh kerajaan selama 10 hari.
“Terakhir, kos ujian calitan Covid-19 dan kuarantin perlu ditanggung oleh pelajar berkenaan,” katanya sambil menambah SOP dan syarat terperinci mengenai pembelajaran akan diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk membenarkan kemasukan pelajar bukan warganegara kecuali dari UK yang datang bersama pengiring untuk belajar di
sekolah-sekolah antarabangsa dan swasta di Malaysia.
Katanya, kebenaran itu juga bermula 1 Januari depan dan hanya tertakluk kepada pelajar sedia ada yang diluluskan permohonan dan mendapat visa dari Jabatan Imigresen Malaysia.
“Selain itu, pelajar dan pengiring perlu melakukan ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia dan sekali lagi setibanya di pintu masuk negara.
“Mereka perlu menjalani kuarantin wajib selama 10 hari di pusat kuarantin yang diwartakan oleh kerajaan dan kos ujian calitan dan kuarantin perlu ditanggung oleh pelajar berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

