KERAJAAN menafikan dakwaan kononnya membayar RM3 Billion untuk 10 juta vaksin seperti dimuat naik di akaun Facebook Zaharin Mohd Yasin.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, berkata setakat ini kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) telah memuktamadkan pembelian 10% Vaksin Covid19 melalui COVAX dan 20% dari Pfizer.
Selain COVAX dan Pfizer, katanya, kerajaan sedang berunding secara terus dan tidak melalui mana-mana pihak ketiga dengan beberapa pengeluar lain yang telah melalui ujian klinikal fasa 3 dan sedang dalam proses kelulusan Badan Kawal Selia Farmaseutikal yang diiktiraf antarabangsa.
Beliau menjelaskan, semua vaksin itu perlu mendapat kelulusan National Pharmaceutical Regulatory Agency di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum boleh digunakan pada rakyat Malaysia.
“Kerajaan memutuskan untuk membeli vaksin Covid-19 yang cukup untuk 70% dari 32 juta rakyat. Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021, kerajaan memperuntukkan RM3 billion untuk tujuan itu.
“Saya ingin memaklumkan setakat rundingan yang telah dimuktamadkan dengan Pfizer, COVAX dan Insya-Allah hari ini dengan Astrazeneca, dan beberapa lagi calon vaksin yang sedang dirunding bagi mencukupkan 70% dari 32 juta rakyat, jumlah nilai harga vaksin-vaksin yang berkenaan lebih rendah daripada pada RM3 billion diperuntukkan.
“Secara umumnya MOSTI secara konsisten menjawab di Parlimen bahawa kos vaksin Covid-19 untuk setiap orang dianggar sekitar USD21 iaitu di bawah RM100 seorang sama ada perlu satu atau dua dos,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Berikutan itu, Amzad berkata dakwaan menerusi Facebook tersebut adalah salah dan jauh menyeleweng dan berunsur fitnah kepada Kerajaan Perikatan Nasional. – Malaysiapost
Foto Kredit: Malay Mail

