PEMUDA Perikatan Nasional (PN) meminta kerajaan dan semua pihak yang bertanggungjawab supaya fokus sepenuhnya menjayakan pelaksanaan Belanjawan 2021.
Ketua Pemuda PN, Ir Khairul Nizam Khirudin berkata, ia demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
“Syukur ke hadrat Allah SWT, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 telah diluluskan Dewan Rakyat pada minggu lalu.
“Pemuda Perikatan Nasional ingin menzahirkan ucapan syabas dan setinggi penghargaan kepada semua ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Yang menjadi suara nurani rakyat dan tuntas menyokong Belanjawan 2021 dari peringkat dasar, peringkat jawatankuasa sehinggalah bacaan kali ketiga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Belanjawan 2021 adalah refleksi sikap keprihatinan kerajaan PN untuk menjamin kelangsungan hidup rakyat dan kemampanan ekonomi.
Katanya, pandemik Covid-19 menuntut kerajaan PN memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif sosial untuk golongan B40, M40, golongan rentan serta golongan kurang bernasib baik yang pastinya terjejas akibat krisis ini.
“Kerajaan PN juga telah merencanakan pelbagai kebijakan untuk menyediakan peluang pekerjaan dan memperkasa sumber daya manusia demi untuk mengurangkan kadar pengangguran dan merancakkan produktiviti negara.
“Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang direncanakan untuk menyediakan 500,000 peluang pekerjaan baharu.
“Selain pelbagai program peningkatan kemahiran dengan perbelanjaan sebanyak RM3.7 bilion pastinya menggembirakan warga dari pelbagai lapisan masyarakat khususnya generasi muda,” katanya.
Khairul Nizam berkata, Pemuda PN juga bertekad untuk menjadi pemudah cara rakyat dalam memastikan pelaksanaan unjuran kerajaan dan inisiatif prihatin rakyat yang efektif dan holistik.
“Kami juga komited untuk memastikan ‘no one left behind’ sekali gus merealiasikan Wawasan Kemakmuran Bersama,” katanya. -Malaysiapost

