SERAMAI 1,377 mangsa banjir dipindahkan membabitkan 491 keluarga setakat pagi ini.
Kesemua mangsa ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 1,085 orang diikuti Kuala Krai (149 mangsa) dan Tanah Merah (143 mangsa).
Pasir Mas membabitkan 14 PPS yang menempatkan 410 keluarga yang dipindahkan sehingga kini, manakala Kuala Krai membabitkan lima PPS menempatkan 42 keluarga dan 39 keluarga ditempatkan di lima PPS di Tanah Merah.
Sementara itu, portal ebanjir Kelantan melaporkan, hanya satu sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang yang mencatatkan bacaan 10.35 meter.
Sebanyak 15 laluan ditutup membabitkan daerah Kuala Krai, Pasir Mas dan Machang susulan dinaiki air. – Malaysiapost

