AHLI Dewan Negara hari ini membaca Al-Fatihah dan bertafakur seminit untuk Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah yang meninggal dunia Jumaat lalu.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, meminta kesemua Ahli Dewan Negara untuk membacakan doa dan penghormatan kepada Allahyarhamah Tun Rahah.
“Ahli-ahli Yang Berhormat, tanggal 18 Disember 2020, hari Jumaat lalu, atau tepatnya jam 4.30 petang, Tun Hajah Rahah Binti Tan Sri Haji Mohamed Noah, 87, telah kembali ke Rahmatullah, bertemu pencipta-Nya.
“Sesungguhnya, banyak yang boleh dikisahkan melalui keperibadian Allahyarhamah Tun Rahah, wanita dan srikandi yang menjadi contoh kepada kita semua,” katanya.
Katanya, semasa hayatnya, Allahyarhamah Tun Rahah merupakan sendi kepada Allahyarham Tun Abdul Razak sehingga membolehkan Perdana Menteri Kedua negara itu berkhidmat dengan cemerlang dan amat disegani pada zamannya.
“Allahyarhamah juga pastinya menjadi inspirasi kepada kelima-lima anaknya.
“Kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Tun Rahah, Dewan ini mengucapkan takziah dan berharap agar tabah dalam menghadapi ujian ini.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan ditempatkan dalam kalangan hamba yang beriman,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut meminta ucapan itu disimpan di dalam Arkib Parlimen dan satu salinannya dihantar kepada keluarga Allahyarhamah.
“Oleh yang demikian, saya menjemput Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian bangun untuk membacakan Suratul Fatihah dan bertafakur selama seminit,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Malay Mail

