AHLI Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mempertahankan pengarah filem ‘Babi’ yang disifatkannya tidak melakukan apa-apa kesalahan di sebalik kemarahan pelbagai pihak.
Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional itu berkata beliau telah menonton video penjelasan oleh Wee Meng Chee atau Namewee berhubung filem tersebut yang menurutnya sangat jelas dan adil.
Beliau mengakui ramai mungkin yang menghukum Namewee hanya kerana melihat dan membaca tajuk serta poster filem tersebut yang mungkin bersifat provokatif.
“Adilkah begitu? Itu ke caranya? Saya boleh tulis lebih panjang Insya-Allah untuk bela anak muda berbangsa Cina yang amat berbakat ini tapi saya rasa tak perlulah.
“Orang putih kata ‘dont judge a book by its cover’. Bagi saya, pepatah Inggeris itu adalah jawapan ringkas kepada mereka yang cuba nak eksploitasi isu ini tak tentu hala.
“Sebagai mantan peguam, maaf, saya tak nampak walau sekecil zarah pun kesalahan Namewee di sisi undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Hanipa yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) berkata tidak adil untuk membebankan polis dan menghabiskan masa, wang dan tenaga menyiasat kes seperti itu.
“Mungkin mereka yang marah tak sedar tindakan mereka itu hakikatnya menolong Namewee untuk dapat promosi percuma walaupun beliau kata tak ada niat nak terbitkan filem itu di negara ini.
“Bagi yang tuduh Namewee nak jatuhkan nama dan reputasi negara, janganlah hina skandal 1MDB dan hina “Gomen Tebuk Atap” yang khianat? Takkan yang itu hangpa nak kata harumkan nama negara? Hangpa tak baik tauu!,” katanya.
Sebelum ini, pelbagai pihak membuat laporan polis terhadap Namewee atau susulan filem terbarunya berjudul ‘Babi’.
Poster filem berkenaan didapati
menggunakan perkataan Melayu Bodoh, India Keling dan Cina Babi yang dianggap keterlaluan.
Malah, Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) menggesa kerakyatan Namewee ditarik balik, sebagai hukuman atas tindakannya yang sering menimbulkan ketegangan kaum di negara ini. – Malaysiapost

