Banjir: 30 minit pujuk ibu muda enggan pindah

0
1
grafik

BOMBA terpaksa mengambil masa 30 minit memujuk seorang penduduk di Kampung Lenjang di Hulu Terengganu yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), tengah malam tadi meskipun rumahnya berisiko dinaiki air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata apabila dipujuk wanita berusia 30-an mempunyai empat orang anak itu memberi pelbagai alasan untuk tidak berpindah.

“Kami juga terpaksa ‘mengumpan’ anak-anaknya untuk merasai pengalaman menaiki lori bomba supaya mereka turut bersetuju berpindah ke PPS,” katanya kepada pemberita di rumah wanita tersebut, lapor Bernama.

Tinjauan pemberita yang turut berada di lokasi tersebut mendapati ibu muda itu akhirnya bersetuju untuk berpindah pada pukul 12.15 tengah malam tadi.

Di Permaisuri, tiga sekeluarga termasuk bayi lelaki berumur setahun berdepan detik cemas apabila pacuan empat roda dinaiki tergelincir dan hampir terjunam ke dalam sungai ketika melalui sebuah jambatan di Kampung Sri Bayas malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Zull Azman Jamaludin berkata kejadian menyebabkan semua mangsa terperangkap dalam kenderaan kerana kedua-dua tayar di bahagian depan dan belakang sebelah kanan telah melepasi jambatan.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 9.25 malam dan ketika tiba di lokasi didapati kedua-dua tayar sebelah kanan pacuan empat roda itu telah terkeluar dari jambatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata semua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan tanpa sebarang kecederaan dan bayi tersebut dibawa ke Hospital Setiu oleh pasukan bomba.

Di Pasir Mas, Kelantan, JBPM Kelantan meminta penduduk di kawasan berisiko banjir supaya memberi kerjasama dengan mendapatkan bantuan pihak terlibat dalam operasi penyelamatan bagi mengelak perkara tidak diingini seperti kenderaan tersekat di tengah jalan dan kes hanyut.

“Lebih bagus sekiranya penduduk dapat berikan maklumat awal kepada pihak berkuasa seperti JBPM, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Sebagai contoh maklumkan kalau ada ahli keluarga golongan Orang Kurang Upaya (OKU) atau mengalami sakit kritikal, maka kita akan bantu pindah lebih awal,” kata Penolong Pengarah Operasi JBPM Kelantan Mohd Wildan Azhari. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here