Isu status agama isteri pemain hoki India disiasat

0
1

STATUS agama wanita Malaysia beragama Islam yang melangsungkan perkahwinan dengan ketua pasukan hoki India masih dalam siasatan pihak berwajib.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi memaklumkan perkara berkenaan masih dalam siasatan.

“Masih dalam siasatan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia, hari ini.

Isu status agama wanita itu, Illi Najwa Saddique timbul selepas dia dilaporkan melangsungkan perkahwinan mengikut acara keagamaan selain Islam di kampung halaman suaminya di Punjab, India.

Difahamkan wanita itu berasal dari Johor.

Sebelum ini, media melaporkan wanita berusia 27 tahun itu berjaya mendapatkan permohonan khas daripada kerajaan Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India untuk terbang ke New Delhi.

Pemain itu, Manpreet Singh Pawar kali pertama bertemu Illi Najwa ketika dia mengetuai satu kejohanan pada 2012.

Menurut laporan itu lagi, pasangan itu dijadualkan berkahwin pada April lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana penularan Covid-19.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaari berkata kerajaan akan memanggil Illi Najwa apabila dia kembali ke Malaysia.

Setakat ini, katanya, pihaknya masih menunggu maklumat rasmi daripada Jabatan Agama Islam Johor berhubung status agama wanita berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awal diterima, wanita itu masih muslim dan setakat ini tiada permohonan untuk menukar agama. Kita juga tidak pernah menerima sebarang permohonan wanita berkenaan untuk berkahwin di luar negara.

“Menerusi pembacaan saya di media sosial, wanita berkenaan masih Islam dan lelaki itu dikatakan sudah memeluk Islam akhir tahun lalu.

“Perkara ini akan terungkai sebaik kita mendapat penjelasan daripada wanita itu sendiri,” katanya kepada media di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, Marzuk berkata, majlis resepsi tersebut seperti tular di media sosial bercanggah dengan ajaran Islam kerana terdapat unsur agama lain.

“Kita memahami kegusaran masyarakat berhubung perkara berkenaan kerana ia perkara sensitif. Tetapi kita bersangka baik dan mengandaikan wanita itu masih Islam dan menunggu pengesahan rasmi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here