Suami meninggal dunia ketika tunggu isteri temu duga

0
2

SEORANG lelaki meninggal dunia ketika menunggu isterinya di dalam kereta bagi menghadiri temu duga di sebuah hospital swasta di Bangsar, semalam.

Menurut Isterinya, Nurul Ain Mohd Razip, 31, beliau terkejut apabila panggilan telefon disambut anak sulungnya yang menangis memaklumkan suaminya Mohd Ashraf Rosli, 35, tidak sedarkan diri.

Menceritakan detik memilukan itu, Nurul Ain berkata, dia menghadiri temu duga sebagai jururawat di hospital berkenaan sementara suami serta tiga anak berusia 10 bulan hingga enam tahun menunggu dalam kereta.

“Saya tidak sedap hati selepas suami memaklumkan dia mengalami sakit di dada ketika menghantarnya semalam.

“Ketika sedang menunggu giliran, saya berbalas WhatsApp dengan suami kerana bimbangkan keadaannya.

“Kira-kira jam 3.45 petang, saya menghubungi telefon bimbit suami kerana kiriman WhatsApp tidak berjawab.

“Terkejut apabila panggilan disambut tangisan anak sulung yang memaklumkan suaminya tidak bergerak,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, suaminya yang bertugas di bahagian teknologi maklumat hospital sama bagaimanapun tidak dapat dikesan di parkir kakitangan.

Katanya, mujur ada orang awam melihat anaknya menangis di dalam kereta sebelum meminta bantuan pengawal keselamatan untuk bantuan kecemasan.

“Selepas menemui kereta di di bahu jalan, ambulans segera membawanya ke bahagian kecemasan untuk bantuan namun tiada respons.

“Suami kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Jenazah suaminya akan dikebumikan di Bercham, Ipoh sebaik bedah siasat selesai dijalankan hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Annuar Omar, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here