KERAJAAN akan memeterai perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca dari United Kingdom Isnin ini bagi pembelian vaksin Covid-19 untuk memenuhi keperluan imunisasi 20 peratus rakyat Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ia merupakan perjanjian ketiga selepas kerajaan memeterainya dengan COVAX bagi pembelian 10 peratus vaksin dan syarikat Pfizer bagi 20 peratus pembelian sama pada akhir bulan lalu.
“Keseluruhannya, kita (Malaysia) akan dapat membeli vaksin bagi keperluan 50 peratus rakyat daripada syarikat pembekal untuk keperluan rakyat negara ini.
“Kita akan cuba mendapatkan kesemua bekalan vaksin ini pada suku pertama tahun depan,” katanya selepas majlis simbolik penyerahan sumbangan ‘Aerosol Intubation Box’ oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di Simpang Renggam hari ini, lapor Bernama.
Dr Adham berkata, pada masa sama kerajaan perlu menambah 20 peratus lagi pemerolehan vaksin bagi memenuhi keperluan sehingga 70 peratus rakyat.
Beliau berkata usaha akan dilakukan bagi menarik syarikat pengeluar vaksin dunia untuk membekalkannya kepada Malaysia.
“Yang penting, syarikat mana yang beri akses cepat kepada vaksinnya dan ia mesti selamat, berkesan serta berkualiti. Mesti ada kelulusan dari negara pengeluar sendiri dan perlu mendapat kelulusan bahagian Regulotari Farmasi Negara (NPRA) KKM.
“Sekiranya ini selesai, maka kita boleh vaksinkan masyarakat dengan yang pertama sekali ialah dalam kalangan petugas barisan hadapan pada awal 2021,” katanya.
Media hari ini melaporkan kumpulan pertama vaksin itu akan diperoleh pada Februari 2021 dengan bekalan akan diterima secara berterusan sehingga akhir 2021.
Pada 24 November lalu, Malaysia mengumumkan akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma. – Malaysiapost

