Bonda pesan jaga nama baik keluarga – Najib

0
3

DATUK Seri Najib Razak berkongsi memori bersama bondanya, Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah termasuk menyokong karier politiknya serta berpesan untuk sentiasa jaga nama baik keluarganya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau akan terus berpegang teguh pada pesanan Allahyarhamah berkenaan hari-hari mendatang termasuklah dalam kariernya sebagai ahli politik.

Katanya, Allahyarhamah sentiasa mengingatkan nasihat itu, sekali gus mahu dirinya menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dan sepenuh dedikasi.

“Sebelum ini, Allahyarhamah bonda memang sentiasa mengingatkan saya untuk menjalankan kerja dengan sebaiknya dan penuh dedikasi.

“Pada bonda, nama keluarga penting untuk terus dipertahankan,” katanya ditemui pemberita selepas Istiadat Pengebumian Negara untuk Allahyarhamah di Lingkaran Makam Pahlawan di Masjid Negara, hari ini.

Bercerita lanjut mengenai bondanya, Najib berkata, banyak memori indah dan manis, terutama apabila beliau hendak mula mencebur diri dalam bidang politik ketika hampir berusia 23 tahun.

“Ketika itu, bonda memberi sokongan dan menyerahkan sepenuhnya kepada saya.

“Apa jua keputusan saya, bonda sokong dan memberi segala bantuan moral serta kasih sayang untuk saya berjaya dalam bidang politik,” katanya.

Menggambarkan keperibadian balu Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein itu, Najib menyifatkan bondanya seorang yang amat penyayang dan baik hati.

“Bonda berjaya mendidik kami dengan sempurna sehingga kelima-lima adik-beradik mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

“Bonda juga menjadi tonggak keluarga kami selepas Allahyarham Tun Abdul Razak sudah tiada lagi.

“Bonda memang menjadi tumpuan kami. Amat sukar bagi kami kehilangan seorang ibu. Yang tentunya, kami semua berasa amat sedih tetapi ini ketentuan Ilahi.

“Bonda telah melalui kehidupan selama 87 tahun dan mencapai kemuncak dalam hidupnya, serta menyaksikan anak membesar dan sedikit sebanyak menikmati kepuasan atas apa yang kami lakukan,” katanya.

Rahah, 87, meninggal dunia petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court.

Allahyarhamah meninggalkan lima anak lelaki, iaitu Najib, Datuk Seri Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam dan Datuk Mohamed Nazim. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here