Agihan kerusi: Tak boleh ikut kenyataan sama ada perhubungan PAS negeri – Hadi

0
2

Nilam Oshman

AGIHAN kerusi antara semua parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih dibincangkan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata di pihak PAS, parti itu menyerahkan soal agihan kerusi untuk diputuskan di peringkat Pusat.

“Kita tak boleh pegang mana-mana kenyataan sama ada perhubungan PAS negeri, Parlimen… mesti kembali (keputusan) kepada Pusat,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyebut kerjasama Barisan Nasional (BN) bersama PN bergantung kepada agihan kerusi.

Mengenai BN yang memutuskan tidak menyertai PN, Abdul Hadi berkata, apa yang penting BN masih dalam kerajaan.

“Yang penting kerajaan dulu, kita nak selesai (urusan) dalam kerajaan terlebih dahulu.

“Seperti keputusan Belanjawan 2021, dapat undi walaupun majoriti tipis, ia sudah betul mengikut konsep demokrasi ,” katanya.

Menjawab persoalan sama ada Muafakat Nasional (MN) terjejas dengan perubahan keputusan antara parti-parti komponen, beliau berkata ia tidak berlaku.

“Tidak terjejas dan kita akan terus menjaga MN. Dalam masa sama, PN peringkat Malaysia dan MN peringkat Semenanjung,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata semua parti komponen PN telah bersetuju untuk bekerjasama dalam urusan pentadbiran kerajaan serta PRU15.

Keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat penubuhan Majlis Presiden Kerajaan PN.

“Alhamdulillah, penubuhan majlis itu, semua parti yang terlibat dengan kerajaan termasuk Umno setuju untuk mengendalikan kerajaan PN dan menghadapi PRU15,” katanya. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here