Nurul Huda Abhar
PENDAKWAH bebas, Ebit Lew yang dikenali dengan sikap gemar menyantuni golongan yang kurang berkemampuan hari ini berkongsi pengalaman membantu pemandu teksi Orang Kelainan Upaya (OKU).
Lebih menyedihkan apabila Ebit memberitahu bahawa lelaki itu memandu teksi dengan menggunakan sebelah tangan sahaja akibat pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum ini.
“Sayu tadi pusing kl terjumpa pakcik bawa teksi sebelah tangan. Keretanya rosak. Banyak rosak. Kerja lapan jam sehari dapat RM15 ke RM20 sahaja sepanjang tahun ini. Setiap hari keluar rumah cari rezeki. 14 tahun bawa teksi. Tangan sebelah tiada kerana kemalangan jalan raya,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.
Selain itu, Ebit turut membantu membaiki teksi lelaki berkenaan dan memberikan sedikit wang untuk perbelanjaan harian.
Menurut Ebit, lelaki yang digelar ‘pakcik’ itu mempunyai dua orang anak yang sedang membesar dan tidak mempunyai cukup yang untuk membaiki kerosakan teksinya.
“Tadi saya bawa pakcik ini ke bengkel dan akan bayar apa yang rosak. Beri sedikit duit belanja. Ya Allah. Banyak ni ustaz. Pakcik tiba sedih sebak.
“Rajin pakcik ini bekerja. Semoga dimudahkan segala urusannya. Pakcik ni terharu, katanya tak sangka ustaz tiba datang dan sudi nak terus bantu beliau. Tiada duit nak repair kereta. Semoga dua orang anak pakcik ni berjaya dalam pelajaran kehidupan,” ujarnya.
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2020/12/08/ebit-lew-baiki-kereta-auntie-food-panda/
Sebelum ini, Ebit pernah membantu seorang wanita yang dahulu bekerja sebagai penulis di sebuah majalah berbahasa Inggeris, tetapi kini penghantar makanan ‘Food Panda’ selepas kehilangan kerja.
Malah, apa yang menyedihkan apabila wanita itu menghantar makanan menggunakan Perodua Kancil uzur yang sudah berusia 25 tahun. – Malaysiapost

