Pengarah filem ‘Babi’ perlu diambil tindakan segera – GTPM

0
2

PIHAK berwajib perlu mengambil tindakan terhadap pengarah dan penyanyi rap Wee Meng Chee atau Namewee berhubung siaran filem kontroversi arahannya berjudul ‘Babi’.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM), Azman Kang Abdullah berkata, ianya kerana filem arahan Namewee itu menyentuh sensitiviti kaum dan perpaduan rakyat di negara.

Menurut beliau, ini kerana kandungan filem itu turut menggunakan perkataan Melayu Bodoh, India Keling dan Cina Babi yang dianggap keterlaluan.

Azman Kang berkata, meskipun dihasilkan atas alasan kreativiti seni, namun filem tersebut tidak boleh diterima kerana jelas boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.

Tambahnya, sebelum ini Namewee telah beberapa kali muncul dengan tindakan sengaja mencabar kesabaran rakyat dengan pelbagai isu serta provokasi melampau.

“Dia nampaknya seperti sengaja menaikkan kemarahan rakyat Malaysia dan terus menerus tampil dengan perbuatan seperti itu.

“Sebelum ini isu dia menghina kedaulatan negara di luar juga seolah-olah diam begitu saja, kali ini dia buat hal lagi.

“Pada masa sama, dia juga cuba mencemarkan imej negara di luar dan selepas itu akan meminta maaf. Semudah itu saja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa penyanyi itu perlu diberi pengajaran yang setimpal atas tindakannya yang sengaja menimbulkan ketegangan termasuk menarik balik kerakyatannya.

Katanya, biarpun Namewee telah memberi penjelasan, namun ia tetap tidak boleh diterima terutama dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Jelasnya lagi, mungkin kerana penyanyi itu merasakan dirinya mempunyai sokongan pihak tertentu, yang menjadikannya berani muncul dengan tindakan kontroversi.

“Tapi cukuplah. Ini sepatutnya menjadi kali terakhir dia tampil dengan ‘buah tangan’ seninya kepada rakyat Malaysia. GTPM menggesa tindakan tegas diambil ke atasnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here