Nurul Huda Abhar
TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa melawat Tun Rahah Mohamed Noah yang kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital tempatan.
Tun Rahah merupakan ibu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menerusi perkongsian di laman Facebook (FB), Perdana Menteri turut memohon agar rakyat mendoakan kesihatan ibu kepada Ahli Parlimen Pekan tersebut.
“Petang tadi saya meluangkan masa menziarahi Tun Hajah Rahah Tan Sri Haji Mohamed Noah di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.
“Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah SWT agar Tun Rahah yang merupakan balu Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak dan juga bonda Datuk Seri Najib diberi kesembuhan dan dipermudahkan urusan rawatan. Amin,” tulisnya hari ini.
Hantaran berkenaan menerima banyak komen positif daripada pelayar FB yang menyukai silaturahim yang terbina antara dua pemimpin itu meskipun daripada parti yang berlainan.
“Politicians.. bertegang urat di dalam dewan tapi sangat profesional dekat luar.. moga semua pihak sama-sama boleh ketepikan perbezaan politik dan betul-betul bekerja untuk rakyat,” tulis Latifah Hassan.
Selain itu, terdapat juga komen yang mahukan hubungan antara Muhyiddin dan Najib kembali pulih bagi kesejahteraan politik negara.
“Alhamdulillah, semoga Allah menautkan kembali hati dua orang pemimpin ini,” komen Hazri Hanapy.
“Amin. Dan Semoga ikatan ukhwah antara pemimpin terus diperbaiki,” kata Mohd Ail.
Hantaran tersebut menerima lebih 5,000 tanda suka dan dikongsi sebanyak 119 oleh pelayar FB hari ini. – Malaysiapost

