Tindakan Ku Li atas kapasiti peribadi

0
2

Aiman Hanif

TAK perlu rujuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ke Jawatankuasa Disiplin Umno kerana tindakannya atas kapasiti individu, kata Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub.

Malah, menurut Mustapha lagi, Tengku Razalaeigh atau Ku Li tak mampu menarik sokongan Ahli Parlimen Umno untuk menyokong kerjasama politiknya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tak perlu ambil tindakan disiplin terhadap beliau kerana apa yang dilakukannya adalah atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen.

“Saya yakin yang Ahli Parlimen Gua Musang itu tidak mampu untuk menarik sokongan Ahli Parlimen Umno menyokong Mahathir, apatah lagi orang Umno tak boleh lupa apa yang Mahathir lakukan dan tak akan memaafkannya,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.

Sebelum ini, Ku Li dilaporkan membuat sidang media bersama Dr Mahathir bagi menawarkan khidmat untuk memimpin negara susulan dakwaan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tumbang pada bacaan ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, dakwaan itu terbukti tidak menjadi kenyataan apabila Belanjawan 2021 diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin memperoleh 111 sokongan manakala pembangkang mendapat 108 sokongan.

Sementara itu, Mustapha berkata, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu seakan-akan tak serik dipermainkan apabila menghulurkan tangan bekerjasama dengan Dr Mahathir bagi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya hairan kenapa Ku Li masih membiarkan dirinya dipermainkan Mahathir.

“Ku Li sebelum ini ditipu Mahathir berkali-kali sejak zaman Hussein Onn lagi, bahkan Mahathir juga pernah menafikan haknya untuk menjadi timbalan perdana menteri.

“Begitu juga dalam pemilihan Umno Ku Li juga pernah dipermain Mahathir. Saya kecewa dan tak faham kenapa dia tak serik,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here