PERINTAH berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok, dilanjutkan hingga 31 Disember ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata perintah berkurung itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi.
“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.
“Maklumat mendedahkan kumpulan menjalankan kegiatan penculikan untuk tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan jenayah lain rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hazani berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.
Katanya, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.
“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya. -Malaysiapost

