DUA pemimpin veteran negara, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan kesediaan bekerjasama memimpin kerajaan, jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang dalam bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 esok.
Dr Mahathir dalam sidang media bersama Tengku Razaleigh atau Ku Li di ibu negara hari ini berkata, beliau berharap Ahli-Ahli Parlimen memberi peluang untuk mereka memimpin negara.
Malah, bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu sedia untuk berkhidmat kepada negara tanpa sebarang gaji kerana sudah ada banyak duit pencen.
“Ada kemungkinan esok, bila undian untuk bacaan ketiga belanjawan, ada kemungkinan kerajaan akan kalah.
“Saya harap mereka yang berada di Parlimen tidak akan memikirkan diri mereka sendiri, tetapi memikirkan tentang negara.
“Saya harap cadangan kita ini akan tercapai, jika wakil rakyat dalam dewan memberi kepercayaan,” katanya.
Sidang media bersama itu berlaku di tengah-tengah laporan yang mendakwa Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan lebih jitu untuk menjatuhkan Muhyiddin.
Anwar didakwa mendapat sokongan 10 Ahli Parlimen Umno termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata kerajaan PN kini tidak ada strategi untuk membawa dasar bagi membela rakyat, sebaliknya hanya terlibat dengan politik termasuk politik diri.
“Tak ada satu strategi untuk memulihkan ekonomi negara dan juga untuk menangani masalah Covid-19. Kami harap kami akan dapat sokongan bagi menjayakan idea ini,” katanya.
Mengenai jumlah sokongan yang telah diperolehi daripada Ahli-Ahli Parlimen setakat ini, Dr Mahathir berkata ia terpulang kepada wakil rakyat.
Begitu juga dengan jawatan perdana menteri, beliau menyerahkan kepada ahli Parlimen untuk menentukan siapa bakal memegang jawatan tersebut
“Jika semua ahli Parlimen sokong saya…Saya jadi perdana menteri esok,” katanya.
Penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi semua kementerian dijangka selesai esok, sebelum Belanjawan itu dibaca kali ketiga untuk diluluskan. – Malaysiapost

