Paksa pasangan lakukan seks, 2 polis didakwa

0
2

DUA anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas lapan tuduhan mencabul, melakukan peras ugut dan seks oral terhadap sepasang kekasih di Pengkalan Chepa pada 4 Disember lalu.

Mohd Hanafi Mohd Zaki, 35, dan Mohammad Izauddin Abd Wahab, 30, didakwa terhadap tiga tuduhan secara bersama, manakala masing-masing berdepan dua dan tiga tuduhan lagi yang didakwa berasingan.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hanafi dan Mohamad Izauddin didakwa secara bersama mengarahkan mangsa lelaki berusia 30 tahun melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa wanita, 30, di kawasan kilang terbiar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa antara jam 10.45 malam hingga 12 tengah malam, 4 Disember 2020.

Untuk pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa bersama-sama mengarahkan mangsa wanita melakukan seks oral terhadap mangsa lelaki serta melakukan pemerasan dengan meminta RM1,250 sebagai dorongan mangsa tidak dirujuk kepada pejabat agama di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang sabit bersalah boleh mengakibatkan tertuduh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Mohd Hanafi juga menghadapi dua pertuduhan mencabul mangsa wanita dalam kereta Honda Civic dan mengarahkan mangsa lelaki menanggalkan pakaian hingga bogel dengan maksud mengaibkan kehormatan mangsa.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, lapor Harian Metro.

Sementara Mohammad Izuaddin pula menghadapi tiga lagi pertuduhan mencederakan mangsa lelaki dengan menumbuk belakang telinga kiri sehingga lebam, mengarahkan mangsa wanita menanggalkan pakaian hingga bogel dengan niat untuk mengaibkan kehormatan serta melakukan persetubuhan luar tabii ke atas mangsa wanita.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jambatan Pak Nik Lah dan tempat letak kereta dekat Masjid Padang Tembak pada masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya serta penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azlinawati Mohd Arshad, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Mohamad.

Mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 kepada Mohd Hanafi dan RM30,000 kepada Mohammad Izauddin masing-masing dengan empat penjamin bagi semua pertuduhan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Januari. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here