Fitri Nizam
KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir sudah berjumpa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjelaskan kekhilafannya berhubung penularan tangkap layar kenyataan yang dikatakan menghina Anwar.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru bertemu Anwar di Parlimen hari ini.
“Saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan kekhilafan yang berlaku dan beliau (Anwar) berharap isu ini tidak diperpanjangkan lagi.
“Saya juga mengambil pesanan Datuk Seri Presiden untuk seluruh anggota Keadilan bergerak ke hadapan dan fokus dalam melaksanakan amanah reformasi,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.
Beliau berkata, PKR adalah satu keluarga justeru, perbezaan antara mereka perlu diraikan selagi ia berlandaskan prinsip dan idealisme reformasi.
“Kita Keadilan adalah satu keluarga. Perbezaan sesama kita perlu diraikan selagi perbezaan itu bernaung di bawah prinsip dan idealisme reformasi,” katanya lagi.
Sebelum ini, tular perbualan yang didakwa Akmal Nasrullah dan beberapa pemimpin lagi dalam satu kumpulan sembang WhatsApp yang dikatakan menghina Anwar.
Perbualan itu jelas menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Anwar berikutan telah beberapa kali dikecewakan oleh Presiden PKR itu.
Berdasarkan perbualan itu, perasaan tidak puas hati itu timbul berikutan kegagalan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti, sekali gus menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Malaysiapost

