TIMBALAN Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilantik pemangku ketua polis Selangor berkuat kuasa hari ini.
Beliau mengambil alih tugas daripada Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin yang akan bersara wajib esok.
Majlis serah terima tugas antara Noor Azam dengan Arjunaidi berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini, disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya.
Dalam pada itu, Noor Azam menzahirkan penghargaannya terhadap kerjasama dan komitmen warga polis kontinjen Selangor yang banyak membantunya semasa menyandang jawatan ketua polis negeri.
“Pengalaman dan nasihat daripada anggota dan pegawai dalam polis Selangor terutamanya Arjunaidi banyak membantu menangani kes dan isu di negeri ini,” katanya selepas majlis berkenaan, lapor Bernama.
Pada masa sama, Noor Azam menasihatkan warga polis Selangor supaya terus patuh arahan yang diberikan kerana ia bertujuan meletakkan mereka semua pada landasan yang betul.
Mengulas mengenai pelantikan Arjunaidi sebagai pemangku Ketua Polis Selangor, Zamri berkata ia dibuat berikutan Bukit Aman belum lagi memuktamadkan calon untuk menyandang jawatan berkenaan. – Malaysiapost

