3 Ahli Parlimen kena pakai PPE masuk Dewan Rakyat

0
2

TIGA ahli parlimen yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) perlu lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) ketika hadir ke Dewan Rakyat, esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tiga ahli parlimen itu adalah Datuk Seri Dr Adham Baba, Datuk Seri M Saravanan dan P Prabakaran.

Katanya, mereka dikenakan HSO selepas menjadi kontak rapat individu positif Covid-19.

“Ketiga-tiga ahli Parlimen berkenaan akan ditempatkan di ruangan khas di Dewan Rakyat untuk mengikuti proses mengundi bagi peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

“Ya, mereka boleh datang, tapi untuk masuk ke dalam dewan mereka kena lengkap berpakaian PPE.

“Kita juga akan letakkan mereka di satu ruangan khas di dalam Dewan Rakyat,” katanya kepada media selepas sesi dialog bersama Presiden PAS di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Minggu terakhir Persidangan Dewan Rakyat tahun ini menyaksikan lima lagi kementerian akan melalui sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

Kehadiran Ahli Parlimen berkenaan penting bagi menentukan rang undang-undang berkenaan diluluskan atau sebaliknya dengan bacaan ketiga pula dijangka pada Rabu ini.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, perjumpaan dengan Presiden PAS hari ini adalah kerana parti itu sudah lama tidak mengadakan pertemuan dengan media.

Beliau berkata, PAS tidak berniat untuk memboikot media sebaliknya, mengakui turut mahukan kerjasama sebagai rakan parti.

“Tapi, diam itu adalah lebih baik daripada menjawab semua soalan. Senyum adalah satu reaksi lebih baik daripada menjawab semua soalan.

“Dalam situasi ketidaktentuan politik yang berlaku ketika ini, sesuatu kenyataan yang dikeluarkan akan disatukan dengan hanya orang-orang tertentu sahaja yang akan membuat kenyataan untuk PAS,” katanya.

Beliau berkata, tiga individu berkenaan adalah Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS.

“Manakala, pimpinan yang lain tidak digalakkan untuk membuat apa-apa kenyataan melainkan ia berfokus kepada kenyataan yang dibuat oleh pimpinan tertinggi parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here