AHLI Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan dakwaan bahawa beliau antara 10 Ahli Parlimen Umno yang mengemukakan akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berkata, ia bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang pemimpin politik untuk mendapatkan sokongan dalam bentuk SD berhubung pembentukan kerajaan.
Katanya, perkara untuk mendapatkan SD bukan mudah sebab ia akan menentukan kerajaan sesebuah negara.
“Soal nama saya dikaitkan itu, saya tidak tahu. Saya sudah buat kenyataan bulan lalu yang saya tidak pernah beri sokongan kepada mana-mana pihak.
“Yang penting kita secara individu tidak pernah menyokong mana-mana pihak termasuk Anwar untuk jadi ketua kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, dakwaan yang mengaitkan namanya adalah spekulasi pihak tidak bertanggungjawab.
“Mungkin pihak tertentu sengaja mahu buat spekulasi. Saya rasa banyak lagi kerja lain untuk saya buat khususnya menumpukan kepada masalah rakyat.
“Jika benar pihak yang mendakwa itu cukup majoriti, bawa SD itu dan persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Tidak perlu buat kenyataan,” katanya.
Terbaharu, Anwar dikatakan mempunyai sokongan lebih jitu iaitu 10 Ahli Parlimen Umno termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua pembangkang itu turut dikatakan mempunyai sokongan dalam bentuk akuan bersumpah (SD) daripada 10 Ahli Parlimen itu yang akan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -Malaysiapost

