Pihak mahu gugat kerajaan PN masih gagal – Hadi

0
1

SEHINGGA hari ini yang mencabar kedudukan Perikatan Nasional (PN) masih gagal, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, pihak yang mahu menggugat keberadaan kerajaan PN sehingga kini gagal membuktikan bahawa kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak cukup majoriti kukuh.

“Sehingga hari ini yang mencabar (keabsahan) masih gagal. Sama ada undi peringkat dasar atau peringkat jawatankuasa kita menang,” katanya ketika sesi dialog di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, telah termaktub dalam sistem demokrasi yang mana pihak yang mempunyai majoriti yang lebih banyak akan memegang jawatan nombor satu negara.

“Dalam demokarasi, walaupun menang satu undi, tetapi tetap boleh menjalankan tugas. Walaupun satu undi, tetap menang,” katanya lagi.

Sebelum ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan dakwaan Perdana Menteri menghalang usul undi tidak percaya terhadapnya dibahaskan di Dewan Rakyat.

Azhar berkata, berdasarkan rekod Dewan Rakyat sebelum ini, usul yang sama pernah dikemukan dan tidak dihalang, namun tidak sempat dibahaskan disebabkan susun atur aturan mesyuarat.

Beliau berkata, dakwaan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak membenarkan usul tidak percaya dibahaskan dengan cara menyenaraikan di penghujung senarai kertas Aturan Urusan Mesyuarat harian adalah tidak benar.

Katanya, ini kerana usul tersebut telah disenaraikan di dalam Aturan Urusan Mesyuarat mengikut Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

Sementara itu, mengulas dakwaan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan mempunyai sokongan 10 Ahli Parlimen Umno untuk membentuk kerajaan baharu, Abdul Hadi berkata ia bukan perkara baru.

Katanya, ini kerana sebelum ini Ketua Pembangkang tersebut pernah membuat pendedahan yang sama.

“Ini bukan yang petama (dakwaan memiliki majoriti), kita perlu berita yang sebenarnya (sahih), kita tak perlu terkapai-kapai

“Dulu bukan 10, 120 (ahli Parlimen) kita tunggu berita sahih,” ujar Abdul Hadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here