Covid-19: 3 Kluster baharu dikesan, 4 kluster tamat

0
2

Nilam Oshman

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat tiga kluster baharu dikenal pasti, sementara empat kluster ditamatkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kluster ditamatkan adalah Kluster Abell di Sarawak, Kluster Seridana di Wilayah Persekutuan Putrajaya serta Kluster Limbungan dan Kluster Bina Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, kluster tamat setakat ini adalah sebanyak 221 kluster.

Dr Noor Hisham berkata, bagi tiga kluster baharu dilaporkan hari ini adalah Kluster Bukit Gemuk iaitu Kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Tawau di Sabah di mana 10 kes telah dikesan positif Covid-19.

“Kluster Tapak Bina Cendana juga dari Kluster tempat kerja  melibatkan daerah Lembah Pantai, Titiwangsa, dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

“Kes-kes awal bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 10 Disember lalu hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan sebuah tapak binaan. 

“Di mana 11 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini yang melibatkan satu warganegara dan 10 bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kluster Dang Mutiara juga dari Kluster tempat kerja melibatkan daerah Gombak di Selangor serta daerah Dungun dan Kemaman di Terengganu. 

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes 

ke-75,588) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 9 Disember lalu hasil saringan ‘sign on’ pelantar minyak dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, di mana 10 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini, terdapat sebanyak 410 kluster telah dilaporkan dan menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 189 kluster.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 56 kluster melaporkan pertambahan kes.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (565 kes), Kluster Rumah Merah (112 kes) dan Kluster Tapak Bina Berangan (69 kes). -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here