TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub mengingatkan orang Melayu supaya menjaga adab terutama dalam hal membabitkan urusan dengan institusi raja.
Kenyataan beliau di Twitter itu dipercayai mempunyai kaitan dengan isu kekhilafan pemimpin PAS Perak yang tidak menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 8 Disember lalu.
Ahli Parlimen Pulai itu berkata, orang Islam perlulah memelihara nilai kesopanan terutama apabila bercakap dengan Raja Melayu.
“Sekuat manapun kita mendakwa kita golongan Islam jangan lupa kita ini adalah Melayu.
“Bercakap dengan Raja-Raja Melayu juga perlu kesopanan yg diajar oleh budaya Melayu,” katanya ringkas.
Semalam, PAS Perak menzahirkan permohonan maaf kepada Sultan Nazrin atas kekhilafan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu tidak menghadap seperti dititahkan baginda, Selasa lalu.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri dijadual akan mengadap baginda, namun tarikh dan waktunya masih belum diketahui.
Beliau juga mengesahkan surat tersebar di media sosial, berkenaan permohonan Abdul Hadi untuk mengadap Sultan Nazrin adalah benar.
“Maka kami, saya Razman Zakaria (Adun Gunong Semanggol); Mohd Akmal Kamaruddin (Adu Selama) dan Khalil Yahaya (Adun Kubu Gajah) dengan rendah diri menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Nazrin di atas kekhilafan tidak dapat mengadap seperti dititahkan baginda kepada kami bertiga pada 3 petang Selasa lalu.
“Sehubungan itu, PAS Perak akan mengutuskan surat memohon ampun dan maaf atas perkara itu,” katanya.
Sebelum ini, Razman memaklumkan keputusan pembatalan itu dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti. -Malaysiapost

