Maiwp laksana segera syor Ketua Audit Negara

0
1

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menegaskan pihaknya akan memastikan setiap sen wang zakat yang dipungut di kawasan Wilayah Persekutuan akan dimanfaatkan kepada lapan golongan asnaf seperti ditetapkan syarak.

Katanya, beliau telah meneliti dan mengambil maklum Laporan Ketua Audit Negara 2019 berkenaan perbelanjaan menggunakan agihan wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp).

Beliau turut menegaskan, bahawa itu adalah satu tanggungjawabnya kepada umat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

“Ini juga amanah dari Allah SWT kepada saya yang baharu memegang jawatan ini untuk memastikan amanah dan kepercayaan pembayar zakat dapat dipenuhi dengan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Dr Zulkifli, pihaknya akan melaksanakan secepat mungkin segala syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019.

“Cukuplah firman Allah SWT bermaksud (Surah al-Anfal: 27) “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”, yang menjadi pegangan saya ini.

“Ia menjadi saksi akan kesungguhan saya dalam memastikan agihan wang zakat dapat dilaksanakan seadilnya. Kepada Allah SWT kami memohon keampunan dan kami bertawakal,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here