Lampard ‘lawan’ guru, Chelsea buru kemenangan

0
2

MESKIPUN menyanjung tinggi bekas jurulatihnya, Pengurus Chelsea Frank Lampard tetap menaruh impian untuk menumpaskan Carlo Ancelotti yang membimbing Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini.

Lampard menyifatkan Ancelotti sebagai ‘guru’ terbaik yang pernah membimbing dirinya sebagai pemain  di Chelsea.

“Saya sangat menghormati Ancelotti dan menganggap beliau antara pengurus terbaik ketika di bawah kendaliannya di Chelsea sebelum ini.

“Saya pernah bekerjasama semasa zaman kemuncak Ancelotti dengan meraih kejayaan buat Chelsea. Walaupun beliau adalah pengurus yang hebat tetapi saya mahu cuba mengatasinya pada perlawanan nanti,” kata Lampard.

Lampard dan Ancelotti pernah  bergandingan bersama dalam meraih pelbagai kejuaraan Chelsea antaranya meraih gelaran EPL pada tahun 2009.

Dalam pada itu, Lampard tidak mahu anak-anak buahnya terlalu yakin ketika berkunjung ke Goodison Park meskipun prestasi Everton kurang memuaskan susulan hanya mampu menang satu daripada tujuh perlawanan terakhir mereka.

“Saya mahu pemain kekal fokus dan membawa pulang tiga mata. Kami juga perlu berjaga-jaga kerana Everton mempunyai pemain berkualiti yang mampu melakukan kejutan pada saat akhir.

“Bermain di tempat lawan dan berdepan pengurus terbaik dunia bukanlah satu tugas mudah. Saya harap para pemain memberikan prestasi sebaik yang mungkin,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here