Nurul Huda Abhar
PENERBIT, Puan Sri Tiara Jacquelina mengumumkan bahawa beliau kini dilantik sebagai pemegang amanah Yayasan Aids Malaysia.
Tiara, 53, menyifatkan jawatan yang diberikan kepada adalah satu penghormatan besar dan akan sedaya upaya berkhidmat untuk komuniti terbabit.
“Bagi rakan-rakan dan peminat, saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa saya telah dilantik sebagai pemegang amanah Yayasan Aids Malaysia.
“Ini adalah penghormatan dan amat istimewa untuk saya berada bersama yang lain, dan berkhidmat untuk komuniti yang berkaitan dengan saya,” tulisnya di hantaran Facebook, hari ini.
Tiara yang memulakan kerjaya sebagai pelakon itu mengakui daripada semua jawatan yang dipegang, tugas berada dalam komuniti Aids dan HIV adalah paling mencabar.
Menurutnya, tanggungjawab yang digalas dalam yayasan itu berbeza dan akan berlaku banyak perubahan yang melibatkan kesihatan dan nyawa.
Pelakon wanita utama filem ‘Asmaradana’ itu juga akan berusaha untuk belajar dan mengetahui lebih lanjut berkenaan perkembangan Aids dan HIV.
“Saya akan lakukan terbaik untuk memenuhi komitmen sebagai pemegang amanah, sekaligus menjadi penyokong yang terbaik,” ujarnya. -Malaysiapost

