ISU sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS dilantik sebagai EXCO Perak atau tidak, adalah hak Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS akur apa sahaja yang baik pada pandangan baginda Sultan kerana kestabilan kerajaan adalah keutamaan.
“Tidak timbul soal ‘durhaka’ atau tidak, kerana sesuatu kemelut politik harus dilihat secara menyeluruh bukan hanya sesuatu juzuk untuk membuat penilaian.
“Maka kita yakin mengurus kemelut yang berlaku memerlukan ruang tersendiri dan waktu yang sangat singkat.
“Dalam situasi begini, tidak hairan kalau salah faham, silap maklumat dan tentunya golongan yang berkepentingan akan mengambil kesempatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, isu kemelut politik di Perak berjaya diredakan bila PAS, Bersatu dan Umno bersetuju mengekalkan muafakat dan menyokong perlantikan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar.
“Pelantikan lima EXCO membolehkan Kerajaan Perak berfungai dan pentadbiran berjalan. Tentunya akan ada pertambahan EXCO bagi melengkapkan urus tadbir kerajaan negeri.
“Ini kita serah sepenuhnya kepada kebijaksanaan Tuanku,” katanya.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, berkata
PAS melihat isu yang paling utama selesai hasil muafakat bersama.
“Apapun dengan kesabaran semua pihak dan jiwa besar akhirnya ia berjaya diselesaikan.
“Alhamdulillah kemelut ini tidak mengambil masa yang lama. Kini masa untuk melihat ke hadapan bagi meneruskan pembangunan negeri, menjaga kebajikan rakyat dan memperkukuhkan muafakat politik,” katanya.
Kelmarin, Saarani berkata, lantikan Adun daripada PAS sebagai EXCO kerajaan negeri bergantung kepada perkenan Sultan Perak.
Saarani berkata, beliau akan mencadangkan lima lagi nama Adun bagi mengisi 10 jawatan EXCO kepada Sultan Nazrin dalam masa terdekat.
Ini selepas lima exco mengangkat sumpah, kelmarin.
Semalam, tiga Adun PAS Perak memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Perak berikutan kegagalan mereka menghadap baginda pada Selasa lalu.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, dia dan dua Adun lain mengakui ‘kekhilafan’ mereka kerana tidak menghadap baginda sepertimana dititahkan. -Malaysiapost

