56 kematian libat penunggang basikal tahun ini

0
3

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 56 kematian daripada 137 kes kemalangan melibatkan penunggang basikal di negara ini, antara Januari hingga Oktober lalu.

Bagi tempoh sama, seramai 18 individu cedera parah dan 63 cedera ringan, menurut perangkaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Pengarahnya, Datuk Azisman Alias berkata sepanjang tahun lalu, JSPT merekodkan 201 kes melibatkan 107 kematian, 35 cedera parah manakala 59 cedera ringan.

Katanya, walaupun tiada larangan aktiviti berbasikal di jalan raya, JSPT menasihatkan penunggang basikal sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya demi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

Azisman berkata, aktiviti berbasikal di jalan raya boleh mengganggu kelancaran pergerakan lalu lintas kerana kenderaan lain menggunakan laluan sama setiap masa dan boleh mengundang risiko kemalangan.

Beliau turut mengingatkan pemandu lori, bas dan kereta, selain penunggang motosikal dan kenderaan lain supaya bertimbang rasa dan lebih berhati-hati ke atas penunggang basikal kerana mereka amat terdedah kepada bahaya di atas jalan raya.

“JSPT turut menasihatkan mereka yang ingin menjalankan aktiviti berbasikal supaya memilih lokasi dan masa yang sesuai seperti di kawasan kurang kenderaan dan bukan di waktu puncak ketika pergi dan balik kerja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan pemilik perlu memastikan peralatan dan basikal yang digunakan mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk menggunakan rak di bumbung sahaja pada kenderaan untuk mengangkut basikal.

Beliau berkata mana-mana individu yang melakukan kesalahan semasa menunggang basikal di atas jalan raya boleh diambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Antaranya Seksyen 54 (1) APJ 1987 iaitu menunggang secara melulu dan membahayakan, Seksyen 79(2) APJ 1987 mana-mana orang yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah melakukan suatu kesalahan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here