Hamzah cadang gabungan besar PN, BN, GPS hadapi PRU15

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

SATU ‘piagam persefahaman politik’ gabungan besar merangkumi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu dibentuk bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia dicadangkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menurutnya akan memastikan kelangsungan kerjasama antara ketiga-tiga pihak dan dapat meningkatkan keyakinan rakyat.

“Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat di masa hadapan.

“Sebagai sebuah gagasan inklusif, semua pemimpin parti yang bergabung di dalamnya harus diberi ruang dan peluang sama untuk menyuarakan pendapat serta pandangan masing-masing.

“Dengan mengambil kira kehendak semua parti tidak kira besar atau kecil, tidak kira mewakili mana-mana bangsa, kaum dan agama, gagasan ini nanti mampu melahirkan satu manifesto yang benar-benar memenuhi keperluan seluruh lapisan rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Larut itu, berkata sebelum ini ketika pembentukan Kerajaan PN di peringkat pusat, kedudukan kerajaan-kerajaan negeri juga diambil kira bagi memastikan wujud keseinambungan antara kepimpinan pusat dan negeri.

Katanya, bagi tujuan itu, kerjasama politik tidak dijalinkan atas dasar parti yang mempunyai bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terbesar semata-mata, tetapi juga atas dasar tolak ansur dan persetujuan bersama antara semua parti terlibat.

“Dalam hal ini, pembahagian jawatan-jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar perlu diputuskan secara konsensus bagi memelihara kerjasama politik yang kukuh dan utuh. Ia juga dipengaruhi oleh keperluan dan situasi politik semasa di negeri-negeri berkenaan.

“Contohnya di Perak, jawatan Menteri Besar dikekalkan menjadi milik Bersatu memandangkan jawatan tersebut telahpun dijawat wakil Bersatu sebelum pembentukan kerajaan PN. Sementara di Johor, jawatan Menteri Besar dipersetujui untuk diserah kepada Umno walaupun pada asalnya jawatan tersebut milik Bersatu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan negeri yang diketuai wakil daripada Umno adalah empat termasuklah di Melaka, Perlis dan Pahang,” katanya.

Beliau berkata, bagi PAS pula, persetujuan telah dicapai untuk wakil PAS mengetuai kerajaan di tiga negeri iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala PBB yang mewakili GPS dipersetujui untuk kekal menerajui kepimpinan Sarawak.

“Alhamdulillah, persefahaman politik ini telah terbukti dapat mengukuhkan kedudukan kepimpinan kerajaan PN. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, PN telah menguasai semula negeri tersebut dan persetujuan telah dicapai untuk wakil Bersatu menjawat jawatan Ketua Menteri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here