PEGAWAI dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran tidak bermain aplikasi media sosial Tik Tok ketika bertugas kerana ia tidak sesuai dan mencemarkan imej pasukan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata perbuatan seperti menari di dalam aplikasi itu tidak “manis” dilakukan seseorang pegawai mahupun anggota dalam pasukan beruniform kerana ia seolah-olah mengaibkan uniform PDRM.
“Ia tidak manis dan tidak cocok apabila anggota atau pegawai dalam unit beruniform melakukan sesuatu perbuatan “menari” dan ini sepatutnya dijadikan satu kesalahan tatatertib seolah-olah mengaibkan uniform PDRM.
“Uniform berwarna biru ini uniform keramat, maka ia tidak manis kalau kita pakai uniform ini dan melakukan sesuatu perbuatan yang tidak cocok dengan budaya kerja,” katanya selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota PDRM di Bukit Aman, lapor Bernama.
Abdul Hamid berkata perbincangan mengenai isu Tik Tok dalam kalangan pegawai dan anggota polis akan dibincang lebih lanjut dengan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Zamri Yahya.
“Saya akan berbincang dengan Zamri bagi mengkaji perkara ini tentang baik dan buruknya, mungkin saya akan keluarkan satu arahan berhubung perkara ini,” katanya.
Sabtu lalu, anggota polis wanita dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berdepan tindakan tatatertib selepas memuat naik video seperti aksi tarian menerusi aplikasi Tik Tok sewaktu memakai uniform operasi polis.
Berikutan itu, Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata perbuatan itu yang tular di media sosial menjejaskan imej jabatan dan kod etika PDRM.
Terdahulu, seramai lapan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur menerima surat penghargaan daripada Abdul Hamid kerana menolak wang sogokan semasa Op Dadu Firestorm yang dijalankan pada 15 Oktober hingga 15 November lalu. – Malaysiapost

