GANGGUAN bekalan air di Selangor bakal kembali. Terbaru 38 kawasan di wilayah Sabak Bernam akan mengalami gangguan bekalan air berjadual, mulai jam 10 pagi, 16 Disember nanti.
Bekalan air di 38 kawasan itu terjejas berikutan pelaksanaan kerja penggantian enam unit injap di Jalan Besar Belia, Sungai Panjang dan pemasangan satu injap baharu di Parit 13, Sungai Panjang.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri, berkata gangguan bekalan air berjadual itu akan pulih sepenuhnya pada jam 2 pagi, keesokannya.
Katanya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan adalah berbeza mengikut kawasan bergantung terhadap jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.
“Pelaksanaan ini akan membolehkan sistem pengagihan bekalan air sentiasa berada dalam keadaan optimum.
“Penambahbaikan infrastruktur injap ini juga sebahagian usaha Air Selangor meningkatkan pengalaman perkhidmatan terbaik demi keselesaan pengguna di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, Air Selangor menasihatkan pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.
“Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com. Pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” katanya. – Malaysiapost

