Covid-19: PKRC di MAEPS diaktifkan semula

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Pusat Kuarantin Dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dibuka semula, hari ini.

Beliau berkata keputusan mengaktifkan PKRC MAEPS 2.0 secara segera itu adalah berikutan peningkatan kes Covid-19 dengan mendadak dan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Skop operasi kali ini akan melibatkan pesakit Covid-19 kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) dan
akan hanya menempatkan pesakit bukan warganegara (BWN) sahaja.

“Pengaktifan ini turut melibatkan pemindahan pesakit (BWN) daripada Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM), Sungai Buloh ke MAEPS,” katanya hari ini.

Beliau berkata berbanding hanya 604 katil sebelum ini, ketersediaan katil di PKRC MAEPS 2.0 adalah dengan anggaran 10,000 katil berdasarkan tiga fasa.

“Fasa 1 – 3,000 katil; Fasa 2 – 3,300 katil dan Fasa 3 – 3,700 katil.

“Memandangkan PKRC MAEPS 2.0 akan menempatkan warganegara asing dalam jumlah kapasiti yang tinggi, aspek keselamatan akan dipertingkatkan lagi oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Fasa pertama PKRC MAEPS 1.0 sebelum ini beroperasi pada 16 April dan ditutup pada 15 Julai setelah merawat seramai 1,362 pesakit di mana majoritinya bukan warganegara (86 peratus) dan 14 peratus adalah warganegara Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here