KKM kenal pasti 4 lagi kluster baharu

0
1

Nurul Huda Abhar

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat empat kluster baharu yang dikenal pasti hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu yang melibatkan daerah Penampang di Sabah adalah Kluster Kupi-Kupi yang telah dilaporkan positif Covid-19 pada 2 Disember lalu hasil saringan individu-individu bergejala.

“Sehingga hari ini, sejumlah 12 individu disaring, di mana kesemua 12 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

“Bagaimanapun, usaha mengenalpasti kontak rapat masih giat dijalankan pihak berkuasa,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, kluster kedua adalah Kluster Tapak Bina Ikon Bintang yang melibatkan daerah Lembah Pantai dan Kepong di Kuala Lumpur.

Katanya, kes-kes bagi kluster itu dilaporkan positif Covid-19 bermula hari ini hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan sebuah tapak pembinaan.

Beliau berkata, sehingga kini 532 individu telah disaring, di mana 12 kes dikesan positif Covid-19.

“Seterusnya Kluster Bandar Impian yang melibatkan daerah Kluang di Johor; Pasir Puteh, Kelantan dan Kuala Kangsar, Perak. Kes indeks merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) dan dilaporkan positif pada 1 Disember.

“Sehingga hari ini, 58 individu telah disaring, di mana sembilan kes dikesan positif dalam kluster ini,” ujarnya lagi.

Kata Dr Noor Hisham, kluster keempat adalah Kluster Jalan Kemang melibatkan daerah Port Dickson, Negeri Sembilan yang mana kes indeks dilaporkan positif pada 5 Disember melalui saringan individu bergejala.

Tambahnya, sehingga hari ini, sejumlah 257 individu telah disaring, di mana 19 kes telah dikesan positif Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here