
Muhammad Mustakim Ramli
PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Teja, Daerah Kampar, Perak ditamatkan esok iaitu 10 hari lebih awal.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penamatan lebih awal itu susulan 410 ujian saringan secara bersasar dengan 43 kes positif Covid-19 direkodkan.
Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah itu hanya 41 kes berlaku dalam institusi Rumah Pengasih dan tiada kes dalam komuniti dikesan berikutan saringan kontak rapat.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Perumahan Mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah dilanjutkan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 2,282 ujian saringan secara bersasar dan sebanyak 137 kes kumulatif positif Covid-19 direkodkan yang melibatkan penduduk di lokaliti ini.
“Sehingga kini, KKM turut mengesahkan masih terdapat baki 128 sampel saringan yang masih menunggu keputusan. Berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM, sidang khas hari ini setuju melanjutkan 14 hari lagi sehingga 24 Disember, namun Taman Sawi dikeluarkan daripada pelaksanaan PKPD ini,” katanya, hari ini.
Selain itu, beliau memaklumkan PKPD di Telipok Ria, Tuaran di Sabah dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 24 Disember.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD akan dilaksanakan di tiga lokaliti dalam Mukim Bentong, Pahang iaitu Amber Court Apartment, Ria Apartment dan Rumah Kongsi Kampung Semaut.
Katanya, penilaian risiko KKM mendapati ketiga-tiga lokaliti mempunyai risiko tinggi untuk berlaku penularan lebih ramai kerana kapasiti penduduk yang padat.
“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, sidang khas bersetuju melaksanakan PKPD di tiga lokaliti itu bermula 10 sehingga 23 Disember ini,” katanya.-Malaysiapost
