PEJUANG Muda, iaitu sayap parti PEJUANG diasaskan bekas Tun Dr Mahathir Mohamad terbuka untuk menyokong apa-apa perundingan atau usaha bagi menubuhkan sebuah pembangkang yang berpadu.
Usaha itu bukan sahaja di dalam Dewan Rakyat, malah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Ketua Penajanya,
Abu Hafiz Salleh Hudin.
Beliau menyahut gesaan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin dan Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan (DAPSY), Muhammad Shakir Ameer supaya semua parti di blok pembangkang kembali ke meja rundingan.
Ia antara lain bagi membina momentum baharu dalam satu entiti menghadapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta persiapan ke arah PRU15.
“PEJUANG Muda mengalu-alukan sikap rasional pimpinan muda dalam parti politik yang bertindak sebagai pengimbang antara ketegasan pimpinan utama parti dan realiti akar umbi yang melihat kepimpinan pembangkang gagal menunjukkan kekuatan sebenar apabila menolak untuk duduk bersama dalam membuat sesuatu keputusan secara tuntas,” kata Abu Hafiz menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada masa sama watak-watak perwakilan baharu dan segar harus ditampilkan bagi menerajui perbincangan dan rundingan tersebut.
Ini, katanya, bagi mewakili setiap parti namun tokoh-tokoh senior harus kekal sebagai kumpulan penasihat utama.
“Kesudian dan jiwa besar tokoh-tokoh senior parti dalam memberikan laluan ini amat penting dan sangat dihargai.
“Ini kerana salah faham mahupun halangan yang wujud ketika ini tidak seharusnya memperjudikan masa depan politik baharu Malaysia dan aspirasi golongan muda,” katanya.
Abu Hafiz menambah, pihaknya yakin tokoh-tokoh senior semua parti akan menyambut baik pelawaan untuk kembali ke meja rundingan kerana Malaysia memerlukan barisan pembangkang yang kukuh. – Malaysiapost

