4 didakwa bunuh Dr Wan Hassan

0
1

EMPAT lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan membunuh bekas pengarah MARDI dalam kejadian samun di rumahnya di Bangsar, 29 November lalu.

S Vickeswaran, 22, P Kogilan dan M Ravindran, kedua-duanya 23 tahun dan T Sugu, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia, lapor Bernama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Dr Wan Hassan Wan Embong, 73, di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya, antara jam 3.35 hingga 4 pagi, 29 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Chai Sia menetapkan 9 Mac tahun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera akibat ditetak dengan parang di tangan kanan.

Mangsa dipercayai cuba melawan dengan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk melalui tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here