Reka replika Formula 1 Ferrari kerana obses

0
3

SEORANG mekanik, Miso Kuzmanovic yang tinggal di Sarajevo melaburkan sekitar $30,000 untuk membuat kereta Formula 1 kerana terlalu obses dengan sukan pemotoran berkenaan.

Rekaan luaran kereta sama seperti Ferrari yang dipandu oleh legenda Michael Schumacher dan Kuzmanovic menamakan kereta itu Faraon.

Memaklumkan kepada AFP panjang kereta itu sekitar 20 kaki dengan beratnya1,280 kilogram dan menggunakan enjin 2 liter.

Kuzmanovic melakukan kerja ‘membina’ kereta itu di garaj yang tertutup. Ianya mengambil masa empat tahun untuk beliau menghasilkan sebuah kereta replika Formula 1 berkenaan.

Menariknya, Kuzmanovic turut mendaftarkan kereta itu dengan kerajaan Bosnia untuk digunakan di jalanraya awam.

Pihak berkuasa telah memeriksa kereta itu dan mendapati ianya tiada masalah untuk digunakan. Kuzmanovic diberikan geran kereta dan lengkap dengan spesifikasi kereta tersebut. Mereka meluluskan kereta itu untuk digunakan di jalan raya.

“Saya gembira kerana kereta ini lulus untuk digunakan di jalan raya. Saya tak mampu memiliki kereta Formula 1 sebenar dan ini pun sangat memuaskan hati.

“Walaupun kereta ini boleh dipandu sehingga 117 batu sejam, saya tetap menghormati had kelajuan di jalanraya.

“Selepas kejayaan ini, saya bertekad mahu menghasilkan lebih banyak perkara yang hebat lagi selepas ini,” katanya yang digelar Michael Schumacher Bosnia.

Kuzmanovic memberitahu yang beliau dalam proses untuk berhijrah ke Kanada dan akan membawa sekali kereta itu bersamanya.

Impian beliau kini, mahu meyakinkan mana-mana syarikat pembuatan kereta untuk menghasilkan kereta Formula 1 yang boleh digunakan di jalanraya awam secara besar-besaran.

Beliau yakin ramai lagi orang di luar sana yang memiliki impian seperti beliau iaitu mahu memandu kereta Formula 1 di Jalan Raya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here