PASUKAN Liga Super, Pahang mengesahkan lima tonggak pasukan itu tidak lagi bersama skuad Tok Gajah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Selepas Faisal Abdul Halim dan Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim yang diumumkan tidak lagi bersama skuad itu, ia disusuli tiga pemain lain iaitu penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra dan R Dinesh.
Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata kontrak lima pemain itu tidak dilanjutkan dan kini memberi fokus menyenaraikan pemain baharu.
“Ketika ini, Pahang sedang mendapatkan pemain baharu terutama memperkuatkan jentera tengah, pertahanan dan penjaga gol.
“Usaha ke arah itu sedang dilakukan dan untuk meletakkan Pahang pada prestasi terbaik bagi saingan Liga M musim 2021,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Dalam perkembangan sama, Mohammed Suffian mengesahkan 12 pemain yang pernah beraksi dalam skuad Piala Presiden Pahang dan bekas pemain Shahzan Muda dipilih menyertai sesi latihan bersama skuad Pahang.
Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah itu, hanya lima pemain akan disenaraikan untuk memenuhi misi menyenaraikan anak jati Pahang.
“Sesi pemilihan secara tertutup itu akan diadakan pertengahan bulan ini dan diharap mereka yang terpilih dapat membantu pasukan terutama pemain di posisi tengah dan pertahanan,” katanya. – Malaysiapost

